Click here for Myspace Layouts

Friday, September 23, 2011

HIJAB CINTA ANISAH....


"Apa guna pakai tudung kalau baju sendat, seluar pula ketat? Masa dekat luar, tudung bukan main baik, tapi bila dalam facebook gambar dedah sana, dedah sini. Seksi. Lepas itu dekat shopping mallbukan main berfesyen dengan tudung, tapi masa jemur kain kat luar rumah, pakai seluar pendek sahaja pun jadi. Baik, tak payah pakai terus. Buka je!"
"Eh Nur, tak baik awak berfikiran macam itu. Bercakap bukan dengan perasaan, tetapi biarlah dengan fikiran yang ada Iman."
"Tapi kenyataan Nisa. Apa beza kalau aku cakap ikut perasaan ke fikiran ke sedangkan itulah kebenaran. Aku bukan nak mengutuk atau mengumpat, aku cuma meluahkan apa yang tersimpan dalam hati aku je. Geram bila orang bertudung macam kita ini, macam diperlekehkan oleh kaum sendiri."
"Itulah perbezaannya. Kita orang Islam, kita ada Iman. Iman itu bukan pada hati,  tetapi terpancar dari perbuatan dan pancaindera yang lain. Iman tu bukannya digunakan masa solat, masa zikir, tetapi bila-bila. Jadi sekarang aku nak tanya kau pula, apa tujuan kau bertudung?"
"Tak perlulah kau tahu Nisa. Allah Maha Mengetahui niat aku ikhlas ke tidak."
"Sebab itulah kita bercakap biarlah dengan akal fikiran. Bersangka baik itu ibarat doa. Apabila aku tanya tentang niat, kau kata itu urusanmu dengan Allah. Jadi, kau tidak patut mengutuk mereka macam itu Nur. Niat mereka menutup aurat itu baik, cuma belum secara sempurna.
Bagi yang kurang ilmu kita ajarkan, bagi yang kurang bimbingan, kita yang tahu boleh bagi dorongan. Kita sebagai saudara cuba menegur sebaik mungkin, tetapi Allah, yang memiliki hati kita dan Dia jua yang memberi kita hidayah. Kalau bukan dengan rahmat Allah, belum tentu kita masih mahu bertudung. Mungkin kita jauh lebih teruk dari dibayangkan." ujar Nisa cuba memberi teguran kepada sahabatnya sehalus yang mungkin.
Teguran atau nasihat saling berkaitan dengan penerimaan HATI dan JIWA. Manusia berhubung melalui perasaan, ada keikhlasan maka akan ada sentuhan halus yang masuk ke nurani setiap Insan. Bukanlah teguran sebanyak mungkin yg diperlukan, tetapi kekuatan hati untuk terus menyuntik keikhlasan dalam bersama-sama memperbaiki amalan.
"Entahlah, aku dulu pun tidak bertudung. Tapi Alhamdulillah Allah beri aku nikmat rasa menutup aurat dan aku cuma kecewa apabila segelintir di luar sana bertudung tetapi perangai lebih teruk. Aku rasa macam penat sahaja aku pakai tudung tapi orang judge aku teruk."
"Nur, tiada siapa yang sempurna di dunia. Ada yang solat tetapi masih lagi melakukan maksiat. Ada yang tidak pernah tinggal zakat dan puasa sunat, tetapi kadang-kadang solat pula selalu lewat. Kita yang selalu silap. Kita memikirkan apabila memakai tudung, maka aurat sudah ditutup. Tidak. Aurat itu bukan pada tudung semata-mata. Apabila kita menutup aurat biarlah sebab kita mahu mendekati Allah, mahu didekati Allah. Apabila mahu didekati, kita takkan terlepas dari diuji. Kita akan rasa putus asa dan banyak mengeluh sebab kita buat sesuatu bukan kerana Allah. Tetapi kerana mahu dipandang baik. Mahu dipandang alim. Niat salah semuanya akan serba tidak kena."
"Kenapa kau boleh setabah tu ye Nisa? Aku kadang-kadang tak boleh kawal marah aku dan geram bila orang cakap itu, ini."
"Nur, awak lupa ye.. kalau kita mencintai sesuatu. Kita tidak akan rasa susah atau payah, kita akan buat sesuatu untuk yang kita cintai walaupun kita tidak dilihat. Kita akan buat sesuatu bukan kerana mahukan balasan setimpal, tetapi kerana sayang. Tidak kira susah atau sepahit apapun kita sanggup, sebab kita telah meletakkan jiwa dalam cinta kita. Kita buat bukan kerana mahu perhatian semata,  tetapi kita terasa kita yang sering diperhatikan. Itulah jiwa hamba yang perlu ada, Nur. Apabila kita punya jiwa hamba, kita akan ada ihsan dalam Iman. Insya-Allah, Allah akan permudahkan laluan."
"Jadi maksud kau, kita mungkin akan buat silap. Tapi selagi kita ada niat mendekatkan diri kepada Allah kita mesti berusaha memperbaiki kesilapan kita? Atas sebab kita sedang diperhatikan setiap masa dan tak kira tempat, kan?"
"Betul tu. Apabila kita selalu diperhatikan, jadi bagaimana kita tidak malu untuk melanggar perintahnya. Perkataan kita itu satu ucapan yang mungkin dipersoalkan Akhirat sana. Solat itu kewajipan. Tidak kira dia cacat atau buta, tapi wajib dilaksanakan. Begitu juga membaca al-Quran. Tidak kira dia pandai tajwid atau tidak tahu bahasa Arab, tapi kita perlu tahu membaca al-Quran sebab itu santapan rohani kita.
Tidak kira dia di masjid atau di mana pun, selagi ada peluang solat berjemaah maka kita kena lakukan. Tapi kita selalu silap tafsir, apabila tidak menutup aurat, kita memikirkan yang kita telah melakukan suruhan yang lain. Kita puasa penuh di bulan Ramadhan, kita solat lima di awal waktu. Apabila ada yang menggoda atau tergoda kita marah kerana mereka tidak setaraf kita. Sebab itu, Allah suruh menutup aurat. Apabila menutup aurat maruah terpelihara. Bukan maruah individu sahaja, tetapi maruah agama.
Kemaslahatan ummah. Mungkin kita rasa Iman kita cukup kuat untuk menepis godaan di luar sana, tetapi selagi ada Syaitan, maka akan ada pengaruh di luar sana yang menguji Iman saudara kita yang lain. Jadi mana pula rasa cinta kita sebagai umat nabi Muhammad s.a.w? Maka tutuplah aurat kerana kewajipan kita sebagai muslimah dan cinta kita kepada Allah, tidak kira ikhlas atau tidak. Tutuplah aurat kerana kita betul-betul yakin akan ajaran Islam, adanya Neraka, adanya Syurga, paling penting yakin betapa Allah itu MAHA BESAR".
"Tapi ramai yang bertudung sekarang, semua jenis fesyen ada. Melilit, bercorak atau yangekspress semuanya tersedia."
"Tudung itu sepatutnya menarik mereka yang tidak menutup aurat kepada menutup auratdan tidak sepatutnya menjadi penarik pula bagi kaum Adam untuk mengorat atau mendekat. Niat itu yang penting. Tutup aurat dan mahu jaga akhlak. Itu identiti sebagai muslimah. Kadang-kadang perkara kecil yang kita sering terlepas pandang ini, akan mengundang rasa riak, melahirkan rasa bangga apabila kita bertudung. Kita rasa tudung kita tercantik, kita paling cantik. Maka di sini kecantikan yang kita cari bukan cantik hati, tetapi cantik pandangan mata semata-mata.
Tudung itu seharusnya menjadi pelindung diri dari pandangan nafsu dunia, mewujudkan rasa cinta dengan bersederhana, menjadi pendinding untuk menjauhkan maksiat dan penyelamat di Akhirat."
Bukan berdebat. Bukan juga untuk mencari silap masyarakat. Tetapi Nisa cuma mahu menyedarkan sahabatnya betapa Islam itu indah. Iman itu dengan Taqwa.
******************************
Hijab Cinta-Mu
Kecantikan itu bukan diukur,
Pada nilai kain yang melindungi rambutmu,
Pada kain yang membaluti tubuhmu,
Bukan juga pada warna-warni fesyen terkini gayamu,
Bukan juga pada ketinggian tapak kasut pada tumitmu.
Kecantikan itu bukan terlihat,
Pada maskara di bulu matamu yang lebat,
Pada pemerah di pipimu yang memikat,
Pada gincu dan lip gloss merah melekat,
Bukan juga pada bedak maybelline yang menjadi teman rapat.
Kecantikan itu tidak harus diserlah,
Pada baju berwarna terang di kulitmu yang cerah,
Pada kain singkat terangkat terdedah,
Pada kain nipis yang tembus cela,
Bukan juga pada suara yang lenggok bermadah.
Sungguh kecantikan itu sering disalah tafsir,
Pada mata yang melihat zahir, bukan hati dan akal yang berfikir,
Hinggakan kecantikan itu hilang makna dan rasa,
Hingga jiwa kerap jemu dan berubah.
Hingga nafsu kerap jatuh rebah!
Cantik itu bermakna,
Pada mata menawan pandangannya selalu tunduk,
Pada wajah yang selalu basah di kala wudhu,
Pada bibir berzikir tawadhu,
Pada nafsu, Iman memujuk,
Cantik itu bahagia,
Pada jasad amanah sebaiknya dijaga ,
Pada suara mengajak berdakwah,
Pada baju labuh menjaga maruah,
Pada cinta yg hak terpelihara.
Justeru,
Sabar mengajar,
Redha dikejar,
Beruntunglah wanita yang dilihat, kalimah Allah di lidah terpahat,
Berbahagialah wanita yang diuji, merasa diri sering diperhati,
Malu menjadi pendinding diri,
Kerana pandangan hati lebih utama,
Pandangan Tuhan segala-galanya,
Maka Hijabkan dirimu, Pelihara amanahmu,
Itulah kecantikan yang abadi,
Itulah kebahagiaan yang dicari,
Insya-Allah, ya Rabbal Alamin..
Alhamdulillah, Alhamdulillah, bibirnya meniti kalimah melafazkan kesyukuran buat Maha Besar. Kerdil sungguh tinta ini dibandingkan dengan luasnya ilmu-Mu. Blog Annisa ditatap lama. Rindu menggamit dalam diri. Rindu bertemu penghuni Baitul Annisa. Bertemu dengan kak Damia dan Kak Insyirah. Bertuah bila dapat bertemu insan yang bersama-sama berdiri di jalan Allah dan berjihad dengan menyedarkan yang terleka. Sungguh, perjalanan yang penuh rahsia ini penuh hikmahnya.

2 comments:

  1. sesungguhnya menetup aurat itu sebahagian drpd suruhan Allah....

    ReplyDelete
  2. "Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang." Al Ahzab : 59.

    ReplyDelete